[6]
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas
kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan
kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua
belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka
bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau
dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,
atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan
mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu:
sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah
tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak
menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
[7]
Dan kenanglah nikmat
Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang
telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami
taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan
segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[8]
Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan
sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana
sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.
[9]
Allah menjanjikan
kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan
beroleh keampunan dan pahala yang besar.