[70]
Mereka berkata lagi:
"Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang
dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya
Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
[71]
Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu)
ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada
warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat
menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih
lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah
Allah) itu.
[72]
Dan (ingatlah),
ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama
sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
[73]
Maka Kami (Allah)
berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu
sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia
kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang
yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya,
supaya kamu memahaminya.
[74]
Kemudian sesudah
itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.
Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar
mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana
takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
[75]
(Sesudah kamu -
wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati
orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan
beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah
ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka
mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka
mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
[76]
Dan apabila mereka
(orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang
beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka berjumpa
sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada mereka
(orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu
(di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya
hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?"