[32]
Dengan sebab (kisah
pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya
sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya,
telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang
cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu,
sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan)
di muka bumi.
[33]
Hanyasanya
balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja
dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas),
atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja),
atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah
suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab
seksa yang amat besar.
[34]
Kecuali
orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas
dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
[35]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh
menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan
laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya
kamu beroleh kejayaan.
[36]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala
yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka
menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan
itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.