[71]
Dan mereka juga
menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan
mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu
kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal
Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya!
Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih
Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah
seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".
[73]
Demi sesungguhnya
telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah
satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti
dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu
orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[74]
Oleh
itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya
(sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang
salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[75]
Tiadalah Al-Masih
Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya
beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka
berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah
bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan
(yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana
mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas
nyata itu).
[76]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain
dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga
berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui".