[83]
Dan apabila mereka
mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau
melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa
yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil
mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan
Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang
menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
"Dan tidak ada
sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang
sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya
Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang
soleh"
[85]
Lalu
Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang
telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah
balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan
(sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan
Kami, mereka itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah
dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari
rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan
bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira
salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk
bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya
dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran
dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang
sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian
untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak
dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.
Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan
jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah
menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu
bersyukur.