[90]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan
mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji)
dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya
supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan
itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah
dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada
melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada
Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi
perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah)
dengan jelas nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi
orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah
mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal
yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap
bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang
yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram)
dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan
(mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya
sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat
orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka
baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu
sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja,
maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang
buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di
antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan
kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan
orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada
orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah
maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang
mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah
Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.