[96]
Dihalalkan bagi kamu
binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi
kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam
pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama
kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu
akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan
Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan
ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan
binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian
itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di
langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh
kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan
derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi
orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan
yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu
lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya
yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang
jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya
mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu.
Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang
tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha
penyabar.
[102]
Sesungguhnya
perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh
suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak
sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan
tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan
perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal
fikirannya