[45]
Lalu kaum yang zalim
itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah
kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam".
[46]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran
serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan
selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah
bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan
berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.
[47]
Katakanlah:"
Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba,
atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan
kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?".
[48]
Dan tiadalah Kami
utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa
amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan
berdukacita.
[49]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan
sebab mereka berlaku fasik.
[50]
Katakanlah (wahai
Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah
ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku
juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak
menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada
mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah
kamu mahu berfikir?"
[51]
Dan berilah amaran
dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan
dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi
mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya
mereka bertaqwa.
[52]
Dan janganlah engkau
usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang,
sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau
bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga
tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya)
engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.