[89]
Dan ketika datang
kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada
pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada
Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi
pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa
yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang
yang kafir ingkar itu.
[90]
Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya
sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana
dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya
mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian
daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada
pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu
membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar
orang-orang yang beriman?".
[92]
Dan
sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan
(mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan
kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
[93]
Dan (ingatlah)
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit
Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan
mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka".
Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah
mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman
kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".