[152]
"Dan janganlah
kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal
dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan
dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan
sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa
membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang
itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah)
Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".
[153]
Dan bahawa
sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu
menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan
Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu
bertaqwa.
[154]
Kemudian (ketahuilah
pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk
menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik
(menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap
sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada
pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).
[155]
Dan ini sebuah Kitab
(Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh
itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan
kamu beroleh rahmat.
[156]
Supaya kamu tidak
mengatakan: "Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan
(Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak
faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka".
[157]
Atau supaya kamu
(tidak) mengatakan: "Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami
tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka". (Kamu
tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu
keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya
(yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami
akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan)
azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling
(mengingkarinya).