[158]
Apakah
(yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak
menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan
(azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang
menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu
itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau
yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah:
"Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun
sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada
kami)".
[159]
Bahawasanya
orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan
perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi
berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya
terserah kepada Allah.
[160]
Sesiapa yang membawa
amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda
(dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang
membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama
dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
[161]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku
ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi
Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik".
[162]
Katakanlah:
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah
untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[163]
Tiada sekutu
bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara
seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri
kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".
[164]
Katakanlah:
"(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku
mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan
tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang
itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya
sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan
kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
[165]
Dan Dia lah yang
menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya
yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji
kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu
amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.