[23]
Mereka berdua
merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan
kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya
menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
[24]
Allah berfirman:
"Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi
setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan
juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)".
[25]
Allah berfirman lagi:
"Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu
akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".
[26]
Wahai anak-anak
Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk)
pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa
taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah
dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya)
supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
[27]
Wahai anak-anak Adam!
Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan
kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian
mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum
itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan
yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah
menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
[28]
Dan (orang-orang yang
tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka
berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah
perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang
keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu
tidak mengetahuinya?"
[29]
Katakanlah:
"Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya
kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap
kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal ugama
kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada
mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).
[30]
Sebahagian
(dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq
untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah
mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya
mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati)
selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk
hidayah.