[44]
Dan (apabila
ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada
ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah
dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga
telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian
berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan:
"Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim".
[45]
Iaitu mereka yang
menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan
mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak
percayakan hari akhirat.
[46]
Dan di antara
keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok "Al-A'raaf "(yang menjadi)
pendinding, dan di atas tembok Al-A'raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki
yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan
tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam,
katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang
mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat
memasukinya.
[47]
Dan apabila
dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata:
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama
orang-orang yang zalim".
[48]
Dan orang-orang yang
berada di atas tembok Al-A'raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang
mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: "Nampaknya kumpulan kamu
yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu
sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu".
[49]
(Mereka bertanya
pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): "Itukah
orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak
akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah
kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak
baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ' "
[50]
Dan (Tuhan
menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru
ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air
atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu".
Mereka (ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan
kedua-duanya atas orang-orang kafir".
[51]
(Tuhan
berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan
perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan
orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya
dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak
hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan
untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari
ayat-ayat keterangan Kami.