[88]
Ketua-ketua yang
sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan
mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi
pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama
kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang
demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?
[89]
"Sesungguhnya
(bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu
sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah
kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya.
Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah
kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan
kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".
[90]
Dan berkatalah pula
Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai):
"Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang
demikian menjadilah orang-orang yang rugi".
[91]
Maka mereka
dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di
tempat masing-masing.
[92]
Orang-orang
yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah
mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib,
merekalah orang-orang yang rugi.
[93]
Kemudian Nabi Syuaib
meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah
menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi
nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang
kafir (yang telah binasa itu)".
[94]
Dan (Tuhan
berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang
didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan
(kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah
diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).
[95]
Setelah (mereka
tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka
kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan
angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan
dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu
Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak
menyedarinya.