[144]
Allah berfirman:
"Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada
zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh
itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari
orang-orang yang bersyukur".
[145]
Dan Kami telah
menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis
nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan
hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan
bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang
sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu
akan negeri orang-orang yang fasik - derhaka".
[146]
Aku akan memalingkan
(hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang
benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka
(yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka
tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada)
hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan
sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya
sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan
ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[147]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal
mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat)
melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan
maksiat).
[148]
Dan kaum Nabi Musa,
sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas
perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah
berfirman): "Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat
berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada
mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka
adalah orang-orang yang melakukan kezaliman".
[149]
Dan setelah mereka
menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah
sesat, berkatalah mereka: "Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi
rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari
orang-orang yang rugi".