[164]
Dan (ingatlah)
ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum
yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang
amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab:
"(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan
kamu, dan supaya mereka bertaqwa".
[165]
Maka ketika mereka
melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami
selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami
timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan
mereka berlaku fasik (derhaka).
[166]
Maka setelah mereka
berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang
mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang
hina".
[167]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan
kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan
menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan
kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya,
dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[168]
Dan Kami
pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di
merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga
yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik
dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
[169]
Maka mereka
kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab
(Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata:
"Akan diampunkan kelak dosa kami" Padahal jika datang kepada mereka
kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah
diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka
tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah
mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui
bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah
kamu mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang
berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya
Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki
(keadaan hidupnya).