[179]
Dan sesungguhnya
Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai
hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan
yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan
nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi;
mereka itulah orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai
nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan
menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari
kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan
mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
[181]
Dan di antara
orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan
kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi
sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
[183]
Dan Aku memberi
tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.
[184]
Patutkah mereka
(ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat
mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang
mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi
amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka
(membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang
diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal
kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya
Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?
[186]
Sesiapa yang
disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang
akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba
(dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa
datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan
kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah
berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak
datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu
seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya
pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui".