[26]
Dan ingatlah ketika
kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang
menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan
diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari
rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
[27]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan
(janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui
(salahnya).
[28]
Dan ketahuilah
bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan
sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[29]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu
(petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan
Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
[30]
Dan ingatlah (wahai
Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya
terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka
menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah
sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
[31]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami
telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata)
seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita
dongeng orang-orang dahulu kala".
[32]
Dan (ingatlah)
ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul
(Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu
dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi
sakitnya".
[33]
Dan Allah tidak
sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara
mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar
(meminta ampun).