At-Taubah
[1]
(Ini
adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya
terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan
mereka).
[2]
Oleh
itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya)
selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa)
Allah.
Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina
orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di
akhirat).
[3]
Dan inilah
perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada
Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan
tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum
musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan
jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan
dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan
ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[4]
Kecuali
mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang
musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan
mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada
mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
[5]
Kemudian
apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah
orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka,
dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat
mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya)
dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan
diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Dan jika seseorang
dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka
berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat
mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian
hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah
yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat
Islam).