[7]
Bagaimanakah dapat
diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang
musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu
telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka
selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula
terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
[8]
Bagaimana (boleh
dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka dapat
mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat terhadap
kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu
bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya; dan
kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[9]
Mereka menukarkan
ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu
mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah;
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.
[10]
Mereka tidak
menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman,
dan merekalah orang-orang yang menceroboh.
[11]
Oleh itu, jika
mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi
zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan
ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.
[12]
Dan jika mereka
mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela
ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir
itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya
mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).
[13]
Mengapa kamu tidak
memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula
telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula
memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu
memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar
perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?