[62]
Mereka bersumpah kepada
kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya
jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka
orang-orang yang beriman.
[63]
Tidakkah mereka
mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan
RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di
dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar
[64]
Orang-orang munafik
itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka
(dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran).
Katakanlah (wahai Muhammad): "Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka),
sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk
pengetahuan ramai)"
[65]
Dan jika engkau
bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab:
"Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah:
"Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok
dan mengejeknya?"
[66]
Janganlah kamu
berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah
kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu
(kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana
mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
[67]
Orang-orang munafik
lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain;
mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari
perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut).
Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga
melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu,
merekalah orang-orang yang fasik.
[68]
Allah menjanjikan
orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka
Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka;
dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.