[107]
Dan (di antara
orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan
membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran
(mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan
juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan
RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka
akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan
mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal
Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
[108]
Jangan engkau
sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa'
yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari
mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid
itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan
(mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri
mereka (zahir dan batin).
[109]
Maka adakah orang
yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan
(untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan
masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia
dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak
akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
[110]
(Keruntuhan masjid)
yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan
keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan
habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[111]
Sesungguhnya Allah
telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda
mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka
berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan
terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang
ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran;
dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu,
bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan
(ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.