[123]
Wahai orang-orang
yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang
berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta
ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).
[124]
Dan apabila
diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik)
ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya
bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang
yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira
(dengan turunnya).
[125]
Adapun
orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu
menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka;
dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.
[126]
Dan
(patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba
(dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali;
kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan
insaf)?
[127]
Dan apabila
diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik
itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain
sambil berkata: "Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari
sini)?" Kemudian mereka berpaling pergi (dengan
meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman),
disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.
[128]
Sesungguhnya telah
datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi
Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang
ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia
pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang
beriman.
[129]
Kemudian jika mereka
berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah
(yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang
besar."