[21]
Dan apabila Kami
beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan,
mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat
keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!"
Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan
rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
[22]
Dia lah yang
menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan
berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan
bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan
angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah
kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa
dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya;
pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan
mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi
sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami
dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur".
[23]
Kemudian bila sahaja
Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka
di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia!
Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri
kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia
(bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.
[24]
Sesungguhnya
bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari
langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari
jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan
berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila
bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan
yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat
berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah
perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang
hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu
bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).
[25]
(Itulah
dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat
kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke
jalan yang betul lurus (yang selamat itu).