[26]
Untuk
orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan
serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak
diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka
kekal di dalamnya selama-lamanya.
[27]
Dan untuk
orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap
satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung
dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan
beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[28]
Dan (ingatlah) masa
Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada
orang-orang musyrik: "Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan
makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan
perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka
sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami - yang kamu puja dan
taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!
[29]
"(Allah
mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah
Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak
menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)".
[30]
Pada masa itu
tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan
apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka
yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu)
hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
[31]
Bertanyalah kepada mereka
(yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit
dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan
penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari
benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam?
"(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan
menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai
segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah:
"(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu
bertaqwa?
[32]
Maka yang demikian
(sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya;
sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada
itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari
kebenaran?
[33]
(Sebagaimana
benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah
ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka
tidak beriman.