[62]
Ketahuilah! Sesungguhnya
wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
(Wali-wali
Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[64]
Untuk
mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak
ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan
yang besar.
[65]
Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka
yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia
lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
[66]
Ingatlah!
Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi
dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya,
mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan
semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
[67]
Dia lah yang
menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang
terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya
perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan
kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang
tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).
[68]
Mereka berkata:
"Allah mempunyai anak" Maha Suci Allah (dari apa
yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi
kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu.
Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa
yang kamu tidak mengetahuinya?
[69]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang
dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya".
[70]
(Apa
yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat
kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka
azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.