[79]
Dan berkatalah Firaun
(kepada orang-orangnya): "Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang
mahir".
[80]
Setelah
datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:" Campakkanlah
kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan
sihir itu)!"
[81]
Setelah mereka
campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:" Apa yang kamu datangkan
itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan
mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan
perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[82]
"Dan
Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah
perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan
dosa".
[83]
Maka tidaklah ada
yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan
kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka
menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan
sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.
[84]
Dan Nabi Musa pula
berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada
Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang
Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
[85]
Lalu mereka berkata:
"Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
[86]
"
Dan
selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir".
[87]
Dan (setelah itu),
Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah
kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan
jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di
dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman
(bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)".
[88]
Dan Nabi Musa pula
(merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang
perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai
Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka)
akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka).
Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka
(sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak
terperi sakitnya.