[107]
Dan jika Allah
mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang
akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia
menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan
dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan
kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah
yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[108]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada
kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu
sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah
petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat
(mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri
dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau
keingkaran) kamu".
[109]
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam
perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan
golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan),
kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.
Hud
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif,
Laam, Raa'.
Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap
teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha
Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[2]
(Al-Quran
yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah
sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus
oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang
(ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
[3]
Dan hendaklah kamu
meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah
kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan
hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat
pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam
sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan
beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).
[4]
Kepada Allah jualah
kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[5]
Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka
untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada
Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka
sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka
sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan
segala (isi hati) yang ada di dalam dada.