[29]
Dan (ketahuilah)
wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah
menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah
semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana
yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan
pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku
nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.
[30]
Dan lagi wahai
kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau
mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?
[31]
Dan aku tidak pernah
berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku
mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa
aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman
yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada
mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.
Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari
orang-orang yang zalim".
[32]
Mereka berkata:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu
engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada
kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika
betul engkau dari orang-orang yang benar".
[33]
Nabi Nuh menjawab:
"Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu
jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa
Allah!
[34]
Dan tidak ada
gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah
hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan
kepadaNya kamu akan kembali".
[35]
(Mereka terus berdegil),
bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara
dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan
menjawab dengan berkata: "Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah
yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa
kesalahan kamu menuduhku".
[36]
Dan (setelah itu)
diwahyukan kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi
dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah
engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
[37]
Dan buatlah bahtera
dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang
cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang
zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan
taufan)".