[70]
Maka ketika ia
membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu
ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian
menyeru seorang penyeru:" Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu
adalah pencuri ".
[71]
Mereka bertanya
sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda
kamu yang kehilangan?"
[72]
Orang-orang menteri
menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya
akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang
menjamin pemberian itu".
[73]
Mereka berkata:
"Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami
bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah
pencuri".
[74]
(Orang-orang
menteri) bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu
berdusta?"
[75]
Mereka menjawab:
"Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah
sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang
zalim".
[76]
Maka Yusuf pun
mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang
saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu
dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan
rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil
saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh
Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang
Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di
atasnya yang lebih mengetahui,
[77]
Mereka
berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya
saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang
menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak
menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang
lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan
itu".
[78]
Merekapun merayu
dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin),
mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang
di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang
yang sentiasa berbudi ".