[79]
Yusuf berkata:
"Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang
yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami
mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami
orang-orang yang zalim".
[80]
Maka apabila mereka
berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu
bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung):
"Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu
yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu
telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf?
Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan
negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah
menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang
seadil-adilnya.
[81]
Kembalilah kamu
kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu
(Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan
dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat
menjaga perkara yang ghaib.
[82]
Dan
bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan
kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami
adalah orang-orang yang benar".
[83]
(Setelah mereka
kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan
nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu
rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya,
mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah
jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[84]
Dan (bapa mereka -
Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu)
sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya
disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang
yang memendamkan marahnya di dalam hati.
[85]
Mereka berkata:
"Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah
menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".
[86]
(Nabi Yaakub)
menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku
kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang
kamu tidak mengetahuinya.