[96]
Maka sebaik-baik
sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan
baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti
sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu,
sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang
kamu tidak mengetahuinya?"
[97]
Mereka berkata:
"Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami;
sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".
[98]
Nabi Yaakub berkata:
"Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
[99]
Maka ketika mereka
(Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera
menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu
ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
[100]
Dan ia dudukkan
kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu
mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu)
berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu.
Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia
telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara;
dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya)
merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku
lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[101]
"Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan
(pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan
yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan
di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan
hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".
[102]
(Kisah nabi Yusuf)
yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu
(wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka
sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa
mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).
[103]
Dan kebanyakan
manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka
beriman).