[34]
Dan Ia telah memberi
kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan
tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[35]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah
negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari
perbuatan menyembah berhala.
[36]
Wahai Tuhanku,
berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh
itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia
adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi
ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
(kiranya ia insaf dan bertaubat).
[37]
"Wahai Tuhan
kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di
sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu
yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ)
supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh
itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka,
(supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka
dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[38]
"Wahai Tuhan
kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa
yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang
tersembunyi kepada Allah!
[39]
"Segala puji
tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan
Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
[40]
"Wahai Tuhanku!
Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat
keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[41]
"Wahai Tuhan
kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang
yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
[42]
Dan janganlah engkau
(wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang
yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu
hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar
melihat keadaan yang berlaku).