[65]
Dan Allah menurunkan
hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah
matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang
membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan
memahaminya).
[66]
Dan sesungguhnya
pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan
iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam
perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang
bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang
meminumnya.
[67]
Dan dari buah tamar
(kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta
minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan
akalnya.
[68]
Dan Tuhanmu memberi
ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang
dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh
manusia.
[69]
Kemudian makanlah
dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta
turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya
kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu)
yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari
berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
[70]
Dan Allah yang
menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh
umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di
antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat
tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang
telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[71]
Dan Allah telah
melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang
dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak
mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka,
supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak
mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?
[72]
Dan Allah menjadikan
bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi
kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada
kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu)
percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula
akan nikmat Allah?