[28]
Dan jika engkau terpaksa
berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang
engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan
hati.
[29]
Dan janganlah engkau
jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya
dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan
yang tercela serta kering keputusan.
[30]
Sesungguhnya Tuhanmu
lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang
demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan
hamba-hambaNya.
[31]
Dan janganlah kamu
membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki
kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah
satu kesalahan yang besar.
[32]
Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
[33]
Dan janganlah kamu
membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali
dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka
sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam
pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana
sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum
Syarak).
[34]
Dan janganlah kamu
menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal
dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan
dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
[35]
Dan sempurnakanlah
sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang
demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak).
[36]
Dan janganlah engkau
mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran
dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya
tentang apa yang dilakukannya.
[37]
Dan janganlah engkau
berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan
dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang.
[38]
Tiap-tiap satu
perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.