[187]
Dihalalkan bagi
kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri
kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi
mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia
menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah
isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi
kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih
(cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu
setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah
batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian
manusia supaya mereka bertaqwa.
[188]
Dan janganlah kamu
makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan
yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah)
kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
[189]
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran)
anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya
ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian
belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi
kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu)
itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu
berjaya."
[190]
Dan perangilah
kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan
memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang menceroboh.