[76]
Dan sesungguhnya
mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi
(Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika
berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.
[77]
(Demikianlah)
peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan
sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang
perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.
[78]
Dirikanlah olehmu
sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah)
sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan
(keistimewaannya).
[79]
Dan bangunlah pada
sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud"
padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu
pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
[80]
Dan pohonkanlah
(wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam
urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku
daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku
dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
[81]
Dan
katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara
yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu
perkara yang tetap lenyap".
[82]
Dan Kami turunkan
dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan
rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak
menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan
kerugian jua.
[83]
Dan apabila Kami
kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari
bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.
[84]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri;
maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul
jalannya".
[85]
Dan mereka bertanya
kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan
kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
[86]
Dan sesungguhnya
jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan
kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami
untuk mengembalikannya.