[16]
Dan oleh kerana kamu
telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain
dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan
untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".
[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua
mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri,
sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari
tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah
petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan
sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan
beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
[18]
Dan engkau sangka
mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam
tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka
menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka,
tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau
akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
[19]
Dan
demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka
bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa
lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka
menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari
sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih
menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari
kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan
memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di
situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan
hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan
janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
[20]
"Sesungguhnya,
kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan
merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama
mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan
berjaya selama-lamanya".