[28]
Dan jadikanlah dirimu
sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka
pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan
janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau
mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang
Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di
dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah
melampaui kebenaran.
[29]
Dan katakanlah
(wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka
sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur
ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi
orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana
khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi
pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat
bersenang-senang.
[30]
Sebenarnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalnya.
[31]
Mereka itu,
disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan
memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan
demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
[32]
Dan berikanlah
kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di
antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan
pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara
keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
[33]
Kedua-dua
kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil
itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
[34]
Tuan kebun itu pula
ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia
kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta
daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".