[191]
Dan bunuhlah mereka
(musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah
mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa
angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah
kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi
kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah
mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
[192]
Kemudian
jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[193]
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu
semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka
tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
[194]
(Mencabuli)
bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan
yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada
balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu
maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang
dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
[195]
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
(dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
[196]
Dan
sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong
(dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu
bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah
kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai
(dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu
yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar
fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila
kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati
kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga
masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia)
menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam),
maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari
lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh
(hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap
(di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan
seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).