[39]
Dan berilah amaran
(wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu
hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang
ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu
beriman.
[40]
Sesungguhnya Kamilah
yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah
mereka akan dikembalikan.
[41]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim;
sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
[42]
Ketika ia berkata
kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak
mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?
[43]
" Wahai ayahku,
sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah
datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
[44]
" Wahai ayahku,
janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka
kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
[45]
" Wahai ayahku,
sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman
disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah
ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
[46]
(Bapanya) menjawab:
"Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya
jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku
akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku
sepanjang masa".
[47]
Nabi Ibrahim
berkata: " Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya
kepadaku.
[48]
Dan aku akan membawa
diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;
dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan
ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti
kamu)".
[49]
Maka apabila ia
berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah
kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan
kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
[50]
Dan Kami kurniakan
kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian
yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
[51]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya
ia adalah orang pilihan, dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.