[65]
Mereka berkata:
"Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang
mula-mula mencampak?"
[66]
Nabi Musa menjawab:
"Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan
tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
[67]
Maka yang demikian
menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman kepadanya:
"Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang
tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
[69]
"Dan
campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala
(benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka
lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan
beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
[70]
(Nabi Musa pun
mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka
keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri
sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun
dan Nabi Musa".
[71]
Firaun berkata:
"Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu?
Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku
akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu
akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya
dan lebih kekal".
[72]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang
kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan
mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu,
hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau
hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
"Sesungguhnya
kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan
kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah
jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
[74]
"Sebenarnya
sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka
sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan
tidak pula hidup.
[75]
"Dan sesiapa
yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal
yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi
darjatnya:
[76]
"(Iaitu)
Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan
dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".