[45]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu dengan
wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-orang
yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi amaran, (maka
janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).
[46]
Dan demi
sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, sudah
tentu mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya kami adalah
orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!"
[47]
Dan (ingatlah) Kami
akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal
makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya
sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami
akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai
Penghitung.
[48]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab (Taurat)
yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya
yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu
bertaqwa.
[49]
Iaitu mereka yang
takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang, dan
mereka pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari
kiamat.
[50]
Dan Al-Quran ini
juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan
keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?
[51]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang
benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.
[52]
Ketika ia berkata
kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu
bersungguh-sungguh memujanya?"
[53]
Mereka menjawab:
"Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya".
[54]
Ia berkata:
"Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang
nyata".
[55]
Mereka bertanya:
"Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang
Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"
[56]
Ia menjawab:
"(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah
Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku
adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian
itu.
[57]
"Dan demi
Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu
pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".