[82]
Dan (Kami mudahkan)
sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan
kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada
melanggar perintahnya).
[83]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih
mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
[84]
Maka Kami
perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya,
serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya,
sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang
taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
[85]
Dan (demikianlah
pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari
orang-orang yang sabar.
[86]
Dan Kami masukkan
mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah
dari orang-orang yang soleh.
[87]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah,
yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan
atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru
dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan
(yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada
melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang
yang menganiaya diri sendiri".
[88]
Maka Kami kabulkan
permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya;
dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang
beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
[89]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
[90]
Maka Kami perkenankan
doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan
keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan
berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka
sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada
kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk
(dan taat) kepada Kami.