[39]
Diizinkan berperang
bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana
sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk
menolong mereka (mencapai kemenangan).
[40]
Iaitu mereka yang
diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang
benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah
Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan
serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi),
dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah
banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;
-
[41]
Iaitu mereka (umat
Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya
mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
[42]
Dan jika mereka
(yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah
pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul
masing-masing;
[43]
Dan (demikian juga)
kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
[44]
Dan juga penduduk
Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada
orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan
yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
[45]
Maka bukan sedikit
negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu
runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah
terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
[46]
Oleh itu, bukankah
ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan
yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka
dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi
kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati
yang ada di dalam dada.