[18]
Dan Kami turunkan
hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia
tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.
[19]
Kemudian, Kami
tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu
beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak,
dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
[20]
Dan (Kami juga
menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina,
yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.
[21]
Dan sesungguhnya
pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan
(tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum
dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya;
dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
[22]
Dan di atas
binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal kamu diangkut.
[23]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah
ia: "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan
bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa
kepadaNya?".
[24]
Maka ketua-ketua
yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini hanyalah
seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu.
Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia
menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan
seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.
[25]
"Ia tidak lain
hanyalah seorang lelaki yang mengidap penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan
perubahan keadaannya hingga ke suatu masa".
[26]
Nabi Nuh berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan
seruanku".
[27]
Lalu Kami wahyukan
kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan
dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang
hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi
(yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua
dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan
pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya
di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu
kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan
ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.