[220]
Mengenai
(urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu
(wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki
keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul
dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara
kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta
benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah
menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan
mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[221]
Dan
janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum
mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan
yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun
keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam)
dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam)
dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang
lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah
kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga
dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan
ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya
mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
[222]
Dan
mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu
satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu
hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri
kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka
(untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci
maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.
SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak
bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
[223]
Isteri-isteri kamu
adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu
menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah
(amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta
ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan
berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
[224]
(Dan janganlah kamu
jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng
yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan
perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah
sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.