[21]
Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan
sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa
menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang
mungkar.
Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu,
nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya
selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi
Maha Mengetahui
[22]
Dan janganlah
orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah
tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin
serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah
mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka
supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[23]
Sesungguhnya
orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya,
yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan,
mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar;
[24]
Pada hari lidah
mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka
sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
[25]
Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang
berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah
Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
[26]
(Lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan
lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya)
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki
yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih
dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang
baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan
pengurniaan yang mulia.
[27]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah
kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam
kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu
beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).