[225]
Allah tidak mengira
kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah),
tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab
sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[226]
Kepada orang-orang
yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh
empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[227]
Dan jika mereka
berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah
Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[228]
Dan isteri-isteri
yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari
berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam
kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri
itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan
isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung
oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang
oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai
satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[229]
Talak (yang boleh
dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan)
memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil
balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri
yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat
menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa
kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah
mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri
untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah
aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang
melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[230]
Sesudah (diceraikan
dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu
tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.
Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka
mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali
(maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan
aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya
kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.