[3]
Dan
mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai
tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu
diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan
benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu
faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan,
atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
[4]
Dan orang-orang yang
kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang
direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya
oleh kaum yang lain". Maka (dengan kata-kata itu)
sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.
[5]
Dan mereka berkata
lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala,
yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu
dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".
[6]
Katakanlah (Wahai
Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala
rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[7]
Dan mereka pula
berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti
manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat
itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi
yang membenarkannya).
[8]
"Atau diberikan
perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia
makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada
orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang
tidak siuman".
[9]
Lihatlah
(Wahai Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal perbandingan
(yang bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak
mendapat jalan petunjuk.
[10]
Maha Berkat Tuhan
yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan
untukmu (di dunia ini) sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan
itu, iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
mengadakan untukmu istana-istana (yang tersergam indah).
[11]
(Mereka bukan sahaja
mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah
sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api
yang menjulang-julang.